• AKTIVITI KOLEJ

  • KURSUS JANGKA PENDEK

  • INFO SUKAN

  • INFO TERKINI

  • SUDUT KREATIF & R&D

  • SUDUT UMUM & TEKNOLOGI

  • SUDUT ROHANI & MOTIVASI

100,000 tempat ikuti latihan teknikal, vokasional

Petikan Akhbar dari: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/100_000tempatikutilatihanteknikal_vokasional/Article/


Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/10/29

pix_gal0
Pengambilan pertama lepasan SPM November

PUTRAJAYA: Lebih 100,000 tempat disediakan bagi pelajar mengikuti program di Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), tahun depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengambilan pelajar bagi mengikuti program peringkat Sijil, Sijil Lanjutan, Diploma dan Diploma Lanjutan itu akan diselaraskan Pusat Pengambilan Setempat yang dilancarkan semalam.

Katanya, permohonan kemasukan program TEVT dan ILKA dilaksanakan secara serentak dengan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi meningkatkan lagi bidang itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

“Sijil Kemahiran Malaysia pula dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan IPT. Ini akan meningkatkan keyakinan dan mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal, latihan vokasional dan kemahiran,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Pengambilan Setempat Kemasukan TEVT dan ILKA di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Omar Abdul Rahman. Awal tahun ini, Kabinet memutuskan untuk mewujudkan Pusat Pengambilan Setempat berkenaan bagi kemasukan ke TEVT dan ILKA yang diselaraskan Jabatan Pengajian Tinggi mulai 2011.

Mohamed Khaled berkata, lebih 100,000 lepasan SPM memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa memiliki latihan kemahiran.

Beliau berkata, selama ini bidang teknikal dan vokasional dilihat sebagai pilihan terakhir pelajar berikutan persepsi prospek kerjaya yang terhad sehingga mengakibatkan tenaga kerja dalam sektor tertentu tidak mencukupi.

“Andaian ini harus disangkal kerana pendidikan teknikal dan latihan vokasional serta kemahiran menyediakan landasan alternatif yang baik bagi pelajar merealisasikan potensi, kecenderungan, minat serta kemahiran diri mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelajar perlu memupuk potensi diri dengan mengutamakan aspek seperti perubahan sikap, kemahiran dan dari aspek pengetahuan atau ilmu serta perubahan aspek pengurusan diri seperti budaya disiplin diri dan amanah.

“Jika semua perubahan digarap bersama dengan peluang pengajian tinggi yang diikuti, akhirnya kita dapat menjana pendapatan diri secara bekerja sendiri atau dengan kerajaan atau organisasi,” katanya.

Sejumlah 350 ILKA menawarkan program sijil dan diploma, manakala Program Diploma TEVT ditawarkan di 27 politeknik seluruh negara bagi pengambilan tahun depan.

Pengambilan pertama bermula 1 November hingga 31 Disember depan untuk lepasan SPM dan setaraf, sementara pengambilan kedua bermula 10 Januari hingga 4 April 2011 untuk lepasan SPM, Sijil Kemahiran MARA dan sekolah menengah.

Filed Under:

Penulis: Syamsul

Berkenaan KKSB

Kolej Komuniti Sabak Bernam adalah sebuah pusat pengajian tinggi awam di bawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Menawarkan pelbagai kursus berbentuk kemahiran bagi memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk menambah pengetahuan dan kemahiran bagi mengubah nasib dan gaya hidup mereka.

Leave a Reply