Petikan Akhbar: Transformasi Kolej Komuniti
Pengukuhan Semula Kolej Komuniti: Satu Tindakan Yang Betul...Oleh ROZAID A. RAHMAN (MStarOnline)
Papar artikel asal
PADA 14 Julai baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan program pengukuhan institusi kolej komuniti.
Sebelum majlis pelancaran ini dilakukan, proses untuk memecahkan pentadbiran dan pengurusan kolej komuniti dengan politeknik telah dibincang dan diperhalusi di peringkat pengurusan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebelum ini jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti. Kenapakah jabatan ini dibahagi dua?
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menggariskan hala tuju dan perancangan KPT untuk sepanjang tahun ini telah menyebut tentang rancangan untuk mentransformasikan kolej komuniti.
Hasrat ini dicetuskan atas dua perkembangan utama: pertama, pemisahan pentadbiran kolej komuniti daripada politeknik sebagai satu langkah untuk memberikan fokus kepada kedua-dua institusi yang sama pentingnya dari segi sumbangan mereka kepada pembangunan negara; dan kedua, berdasarkan perkembangan ekonomi negara dan global yang menuntut kepada inisiatif-inisiatif yang dapat menyumbang kepada perkembangan modal insan, kedudukan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan kesejahteraan mereka, serta seterusnya membawa kepada lonjakan ekonomi negara.
Langkah pertama yang diambil ialah dengan memecahkan Jabatan Pengajian Politeknik & Kolej Komuniti menjadi dua jabatan. Yang baru dinamakan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK). Dan langkah kedua yang diambil ialah pengukuhan semula kolej komuniti yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Usaha yang dilaksanakan ini merupakan satu permulaan positif ke arah mentransformasikan kolej komuniti sebagai peneraju komuniti berilmu dan berkemahiran yang akan menjadi aset penting kepada pembangunan negara. Agenda mentransformasikan masyarakat kita kepada masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan adalah penting bagi menentukan negara mampu menghadapi cabaran dan persaingan di peringkat global.
Mengukuhkan Institusi
Bersesuaian dengan konsep penubuhan kolej komuniti itu sendiri sebagai wadah yang memenuhi keperluan masyarakat setempat, kolej komuniti diharap dapat memainkan peranan tersebut secara signifikan dan efektif.
Dengan kekuatan 42 buah kampus induk dan 21 buah kampus cawangan di seluruh negara, hasrat tersebut boleh dicapai dengan jayanya. Kita melihat pada hari ini, beberapa faktor menyumbang kepada keperluan pengukuhan institusi kolej komuniti.
Pertama, sudah wujud kesedaran universal di kalangan tenaga kerja sendiri akan keperluan dan kepentingan untuk mereka meningkatkan kemahiran dan ilmu secara berterusan jika mereka mahu peningkatan dalam kerjaya mereka termasuk pendapatan.
Dan, bukan semua individu di kalangan kita mempunyai inklinasi akademik yang tinggi. Pada masa yang sama, bukan semua lepasan sekolah akan berpeluang masuk ke universiti sejurus tamat persekolahan menengah. Ini bermakna, pelajar-pelajar lepasan menengah ini akan memasuki pasaran kerja tanpa ada apa-apa kelulusan atau kemahiran asas. Maka di sinilah terletaknya peri pentingnya kolej komuniti.
Peluang Kedua
Kini, melalui program dan kursus-kursus tertentu yang akan diperkenalkan bakal memberi peluang kedua kepada golongan ini disamping menyumbang kepada peningkatan diri dan merealisasikan perkembangan kemahiran bagi golongan yang sudah bekerja.
Program pengukuhan yang dilancarkan ini memperkenalkan, antara lain usaha inovatif yang mana pelaksanaan kurikulum adalah secara bermodular. Melalui inisiatif ini, sesuatu sijil kemahiran yang diikhtiraf pada tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2 dan 3 boleh diperolehi dalam masa antara 3 hingga 6 bulan sahaja, berbanding tempoh pengajian 2 tahun sebelum ini.
Penawaran program melalui mod ini akan menjimatkan masa pelajar yang berminat dan hanya mahu mengkhusus dalam bidang tertentu menurut keperluan dan pilihan mereka sahaja serta membolehkan pelajar tersebut mendalami aspek pengkhususannya sehingga mempunyai kemahiran secukupnya yang akan membolehkannya menyertai dunia pekerjaan dengan kadar yang lebih cepat.
Usaha ini juga menawarkan pembelajaran yang fleksibel, di mana terdapat peluang untuk terus belajar ke peringkat yang lebih tinggi, jika itu yang diingini pelajar. Jangkamasa latihan yang singkat juga bermakna ramai yang akan dapat mengikuti program ini.
47 Kursus Dalam 9 Sektor
Kini terdapat 47 jenis kursus modular ditawarkan oleh Kolej Komuniti di seluruh negara yang merangkumi 9 sektor iaitu (i) Servis Penyejukan dan Penyaman Udara, (ii) Akuakultur, (iii) Servis Kenderaan Ringan, (iv) Pemasangan Elektrik, (v) Penyelenggaraan Bangunan, (vi) Menyelenggara dan Membaiki Bot, (vii) Pengendalian Pelancongan, (viii) Operasi Hotel dan (ix) Kulinari.
Penulis percaya, konsep kursus modular kolej komuniti ini bukan sahaja lebih praktikal dengan kehendak dan keperluan semasa tetapi juga akan menghasilkan modal insan yang berkemahiran yang akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat, terutamanya masyarakat setempat dan juga diri serta kerjaya individu itu sendiri.
Hal ini memandangkan kursus modular yang ditawarkan di setiap kolej komuniti adalah berdasarkan kemahiran yang diperlukan oleh sesuatu komuniti. Melalui usaha ini juga, kita berharap lepasan sekolah yang tidak berpeluang atau tidak mahu ke universiti ataupun politeknik, mempunyai pilihan lain iaitu kolej komuniti untuk mempertingkatkan kebolehpasarannya dalam pasaran kerja atau yang boleh memberinya peluang untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Adalah dianggarkan setiap tahun, lebih 100,000 orang lepasan SPM memasuki pasaran kerja tanpa latihan kemahiran. Golongan inilah yang patut menjadi sasaran utama program Sijil Modular Kebangsaan ini.
Tahniah KPT dan syabas kepada Prof. Madya Kamarudin Kassim, Ketua Pengarah JPKK serta seluruh pegawai dan kakitangan kementerian. Mereka telah membuktikan bahawa birokrasi bukan penghalang untuk melakukan transformasi.
Gambar ikhsan : http://kkkba.wordpress.com
Filed Under: berita , info kolej
0 comments
Trackback URL | Comments RSS Feed